Penyebar Islam Kalimantan Barat
Mengenai Habib Husein al-Qadri, tidak terlalu sukar membuat penyelidikan kerana memang terdapat beberapa manuskrip yang khusus membicarakan biografinya. Walau bagaimana pun semua manuskrip yang telah dijumpai tidak jelas nama pengarangnya, yang disebut hanya nama penyalin. Semua manuskrip dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi. Nama lengkapnya, As-Saiyid/as-Syarif Husein bin al-Habib Ahmad/Muhammad bin al-Habib Husein bin al-Habib Muhammad al-Qadri, Jamalul Lail, Ba `Alawi, sampai nasabnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sampai ke atas adalah melalui perkahwinan Saidatina Fatimah dengan Saidina Ali k.w. Nama gelarannya ialah Tuan Besar Mempawah. Lahir di Tarim, Yaman pada tahun 1120 H/1708 M. Wafat di Sebukit Rama Mempawah, 1184 H/ 1771M. ketika berusia 64 tahun. Dalam usia yang masih muda beliau meninggalkan negeri kelahirannya untuk menuntut ilmu pengetahuan bersama beberapa orang sahabatnya.
Pendidikan, Pengembaraan Dan Sahabat
Mengembara ke negeri Kulaindi dan tinggal di negeri itu selama empat tahun. Di Kulaindi beliau mempelajari kitab kepada seorang ulama besar bernama Sayid Muhammad bin Shahib. Dalam waktu yang sama beliau juga belajar di Kalikut. Jadi sebentar beliau tinggal di Kulaindi dan sebentar tinggal di Kalikut. Habib Husein al-Qadri termasuk dalam empat sahabat. Mereka ialah, Saiyid Abu Bakar al-`Aidrus, menetap di Aceh dan wafat di sana. Digelar sebagai Tuan Besar Aceh. Kedua, Saiyid Umar as-Sagaf, tinggal di Siak dan mengajar Islam di Siak, juga wafat di Siak. Digelar sebagai Tuan Besar Siak. Ketiga, Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Qudsi yang tinggal di Terengganu dan mengajar Islam di Terengganu. Digelar sebagai Datuk Marang. Keempat, Saiyid Husein bin Ahmad al-Qadri (yang diriwayatkan ini)
Maka Habib Husein pun berangkatlah dari negeri Kulaindi menuju Aceh. Di Aceh beliau tinggal selama satu tahun, menyebar agama Islam dan mengajar kitab. Selanjutnya perjalanan diteruskan ke Siak, Betawi dan Semarang. Saiyid Husein tinggal di Betawi selama tujuh bulan dan di Semarang selama dua tahun. Sewaktu di Semarang beliau mendapat sahabat baru, bernama Syeikh Salim bin Hambal.
Pada suatu malam tatkala ia hendak makan, dinantinya Syeikh Salim Hambal itu tiada juga datang. Tiba-tiba ia bertemu Syeikh Salim Hambal di bawah sebuah perahu dalam lumpur. Habib Husein pun berteriak sampai empat kali memanggil Syeikh Salim Hambal. Syeikh Salim Hambal datang menemui Habib Husein berlumuran lumpur. Setelah itu bertanyalah Habib Husein, “Apakah yang kamu perbuat di situ?” Jawabnya: “Hamba sedang membaiki perahu.” Habib Husein bertanya pula, “Mengapa membaikinya malam hari begini?” Maka sahutnya, “Kerana siang hari, air penuh dan pada malam hari air kurang.” Kata Habib Husein lagi, “Jadi beginilah rupanya orang mencari dunia.” Jawabnya, “Ya, beginilah halnya.” Kata Habib Husein pula, “Jika demikian sukarnya orang mencari atau menuntut dunia, aku haramkan pada malam ini juga akan menuntut dunia kerana aku meninggalkan tanah Arab sebab aku hendak mencari yang lebih baik daripada nikmat akhirat.”
Habib Husein kembali ke rumah dengan menangis dan tidak mahu makan. Keesokan harinya wang yang pernah diberi oleh Syeikh Salim Hambal kepadanya semuanya dikembalikannya. Syeikh Salim Hambal berasa hairan, lalu diberinya nasihat supaya Habib Husein suka menerima pemberian dan pertolongan modal daripadanya. Namun Habib Husein tiada juga mahu menerimanya. Oleh sebab Habib Husein masih tetap dengan pendiriannya, yang tidak menghendaki harta dunia, Syeikh Salim Hambal terpaksa mengalah. Syeikh Salim Hambal bersedia mengikuti pelayaran Habib Husein ke negeri Matan.
Setelah di Matan, Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal menemui seorang berketurunan saiyid juga, namanya Saiyid Hasyim al-Yahya, digelar orang sebagai Tuan Janggut Merah. Perwatakan Saiyid Hasyim/ Tuan Janggut Merah itu diriwayatkan adalah seorang yang hebat, gagah dan berani. Apabila Saiyid Hasyim berjalan senantiasa bertongkat dan jarang sekali tongkatnya itu ditinggalkannya. Tongkatnya itu terbuat daripada besi dan berat. Sebab Saiyid Hasyim itu memakai tongkat demikian itu kerana ia tidak boleh sekali-kali melihat gambaran berbentuk manusia atau binatang, sama ada di perahu atau di rumah atau pada segala perkakas, sekiranya beliau terpandang atau terlihat apa saja dalam bentuk gambar maka dipalu dan ditumbuknya dengan tongkat besi itu.
Kedudukan di Matan
Setelah beberapa lama Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal berada di Matan, pada suatu hari Sultan Matan menjemput kedua-duanya dalam satu jamuan makan kerana akan mengambil berkat kealiman Habib Husein itu. Selain kedua-duanya juga dijemput para pangeran, sekalian Menteri negeri Matan, termasuk juga Saiyid Hasyim al-Yahya. Setelah jemputan hadir semuanya, maka dikeluarkanlah tempat sirih adat istiadat kerajaan lalu dibawa ke hadapan Saiyid Hasyim. Saiyid Hasyim al-Yahya melihat tempat sirih yang di dalamnya terdapat satu kacip besi buatan Bali. Pada kacip itu terdapat ukiran kepala ular. Saiyid Hasyim al-Yahya sangat marah. Diambilnya kacip itu lalu dipatah-patah dan ditumbuk-tumbuknya dengan tongkatnya. Kejadian itu berlaku di hadapan Sultan Matan dan para pembesarnya. Sultan Matan pun muram mukanya, baginda bersama menteri-menterinya hanya tunduk dan terdiam saja. Peristiwa itu mendapat perhatian Habib Husein al-Qadri. Kacip yang berkecai itu diambilnya, dipicit-picit dan diusap-usap dengan air liurnya. Dengan kuasa Allah jua kacip itu pulih seperti sediakala. Setelah dilihat oleh Sultan Matan, sekalian pembesar kerajaan Matan dan Saiyid Hasyim al-Yahya sendiri akan peristiwa itu, sekaliannya gementar, segan, berasa takut kepada Habib Husein al-Qadri yang dikatakan mempunyai karamah itu.
Beberapa hari setelah peristiwa di majlis jamuan makan itu, Sultan Matan serta sekalian pembesarnya mengadakan mesyuarat. Keputusan mesyuarat bahawa Habib Husein dijadikan guru dalam negeri Matan. Sekalian hukum yang tertakluk kepada syariat Nabi Muhammad s.a.w. terpulanglah kepada keputusan Habib Husein al-Qadri. Selain itu Sultan Matan mencarikan isteri untuk Habib Husein. Beliau dikahwinkan dengan Nyai Tua. Daripada perkahwinan itulah mereka memperoleh anak bernama Syarif Abdur Rahman al-Qadri yang kemudian dikenali sebagai Sultan Kerajaan Pontianak yang pertama. Semenjak itu Habib Husein al-Qadri dikasihi, dihormati dan dipelihara oleh Sultan Matan. Setelah sampai kira-kira dalam dua hingga tiga tahun diam di negeri Matan, datanglah suruhan Raja Mempawah dengan membawa sepucuk surat dan dua buah perahu akan menjemput Habib Husein untuk dibawa pindah ke Mempawah. Tetapi pada ketika itu Habib Husein masih suka tinggal di negeri Matan. Beliau belum bersedia pindah ke Mempawah. Kembalilah suruhan itu ke Mempawah. Yang menjadi Raja Mempawah ketika itu ialah Upu Daeng Menambon, digelar orang dengan Pangeran Tua. Pusat pemerintahannya berkedudukan di Sebukit Rama.
Habib Husein Pindah ke Mempawah
Negeri Matan dikunjungi pelaut-pelaut yang datang dari jauh dan dekat. Di antara ahli-ahli pelayaran, pelaut-pelaut yang ulung, yang datang dari negeri Bugis-Makasar ramai pula yang datang dari negeri-negeri lainnya. Salah seorang yang berasal dari Siantan, Nakhoda Muda Ahmad kerap berulang alik ke Matan. Terjadi fitnah bahawa dia dituduh melakukan perbuatan maksiat, yang kurang patut, dengan seorang perempuan. Sultan Matan sangat murka, baginda hendak membunuh Nakhoda Muda Ahmad itu. Persoalan itu diserahkan kepada Habib Husein untuk memutuskan hukumannya. Diputuskan oleh Habib Husein dengan hukum syariah bahawa Nakhoda Muda Ahmad lepas daripada hukuman bunuh. Hukuman yang dikenakan kepadanya hanyalah disuruh oleh Habib Husein bertaubat meminta ampun kepada Allah serta membawa sedikit wang denda supaya diserahkan kepada Sultan Matan. Sultan Matan menerima keputusan Habib Husein. Nakhoda Muda Ahmad pun berangkat serta disuruh hantar oleh Sultan Matan dengan dua buah sampan yang berisi segala perbekalan makanan. Setelah sampai di Kuala, Nakhoda Muda Ahmad diamuk oleh orang yang menghantar kerana diperintah oleh Sultan Matan. Nakhoda Muda Ahmad dibunuh secara zalim di Muara Kayang. Peristiwa itu akhirnya diketahui juga oleh Habib Husein al-Qadri. Kerana peristiwa itulah Habib Husein al-Qadri mengirim surat kepada Upu Daeng Menambon di Mempawah yang menyatakan bahawa beliau bersedia pindah ke Mempawah.
Tarikh Habib Husein al-Qadri pindah dari Matan ke Mempawah, tinggal di Kampung Galah Hirang ialah pada 8 Muharam 1160 H/20 Januari 1747 M. Setelah Habib Husein al-Qadri tinggal di tempat itu ramailah orang datang dari pelbagai penjuru, termasuk dari Sintang dan Sanggau, yang menggunakan perahu dinamakan `bandung’ menurut istilah khas bahasa Kalimantan Barat. Selain kepentingan perniagaan mereka menyempatkan diri mengambil berkat daripada Habib Husein al-Qadri, seorang ulama besar, Wali Allah yang banyak karamah. Beliau disegani kerana selain seorang ulama besar beliau adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam tempoh yang singkat negeri tempat Habib Husein itu menjadi satu negeri yang berkembang pesat sehingga lebih ramai dari pusat kerajaan Mempawah, tempat tinggal Upu Daeng Menambon/Pangeran Tua di Sebukit Rama. Manakala Upu Daeng Menambon mangkat puteranya bernama Gusti Jamiril menjadi anak angkat Habib Husein al-Qadri. Dibawanya tinggal bersama di Galah Hirang/Mempawah lalu ditabalkannya sebagai pengganti orang tuanya dalam tahun 1166 H/1752 M. Setelah ditabalkan digelar dengan Penembahan Adiwijaya Kesuma.
Akan kemasyhuran nama Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu tersebar luas hingga hampir semua tempat di Asia Tenggara. Pada satu ketika Sultan Palembang mengutus Saiyid Alwi bin Muhammad bin Syihab dengan dua buah perahu untuk menjemput Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah datang ke negeri Palembang kerana Sultan Palembang itu ingin sekali hendak bertemu dengan beliau. Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah tidak bersedia pergi ke Palembang dengan alasan beliau sudah tua.
Wafat
Dalam semua versi manuskrip Hikayat Habib Husein al-Qadri dan sejarah lainnya ada dicatatkan, beliau wafat pada pukul 2.00 petang, 2 Zulhijjah 1184 H/19 Mar 1771 dalam usia 64 tahun. Wasiat lisannya ketika akan wafat bahawa yang layak menjadi Mufti Mempawah ialah ulama yang berasal dari Patani tinggal di Kampung Tanjung Mempawah, bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.
Putera Habib Husein bin Muhammad Al Qadri
Syarif Abdur Rahman al-Qadri – Sultan pertama kerajaan Pontianak
KERAJAAN Pontianak adalah salah satu di antara kerajaan Melayu yang terakhir didirikan. Pendirinya adalah seorang keturunan Arab-Melayu, zuriat Nabi Muhammad s.a.w. Kekukuhannya sebagai Sultan Pontianak yang pertama adalah dilantik oleh Raja Haji bin Upu Daeng Celak Yang Dipertuan Muda Riau.
Pendiri kerajaan Pontianak itu ialah Syarif Abdur Rahman bin al-Habib Husein al-Qadri. Habib Husein al-Qadri, ayah beliau seorang ulama besar, bahkan ramai orang meriwayatkan Habib Husein al-Qadri adalah seorang ‘Wali Allah’ yang dibuktikan banyak ‘karamah’.
Oleh itu, anak beliau Syarif Abdur Rahman al-Qadri adalah seorang ‘sultan’ dan sekali gus beliau adalah seorang ‘ulama’.
Riwayat di bawah ini adalah berasal dari sebuah manuskrip yang diperoleh di Pontianak yang saya ringkaskan dan di beberapa tempat disesuaikan dengan bahasa sekarang.
Pengembaraan
Apabila sampai umur Syarif Abdur Rahman 16 tahun, beliau dibawa oleh ayahnya berpindah dari negeri Matan ke negeri Mempawah. Setelah berumur 18 tahun, beliau dikahwinkan oleh ayahnya dengan Utin Cenderamidi, anak Upu Daeng Menambon.
Tatkala umurnya 22 tahun, Syarif Abdur Rahman pergi ke Pulau Tambelan selanjutnya ke Siantan dan terus ke pusat pemerintahan Riau di Pulau Penyengat. Beliau tinggal di sana selama kira-kira dua bulan. Kemudian, ke negeri Palembang dan tinggal di situ sebelas bulan. Sewaktu hendak kembali ke negeri Mempawah dihadiahkan oleh Sultan Palembang, Sultan Pelakit sebuah perahu selaf dan seratus pikul timah.
Dan pada ketika itu juga bermuafakat Tuan Saiyid dan sekelian bangsa Arab di negeri Palembang dan bersetuju memberi hadiah kepada Syarif Abdur Rahman, dua ribu ringgit. Kemudian Syarif Abdur Rahman belayar pulang ke negerinya, Mempawah.
Setelah dua bulan Syarif Abdur Rahman al-Qadri di Mempawah, beliau belayar pula ke negeri Banjar dan tinggal di sana selama empat bulan. Kemudian, belayar pula ke negeri Pasir dan berhenti di situ selama tiga bulan.
Setelah itu, kembali lagi ke negeri Banjar. Setelah dua bulan di Banjar, Syarif Abdur Rahman dikahwinkan dengan puteri Sultan Sepuh, saudara pada Penembahan Batu yang bernama Ratu Syahbanun. Sebelum berkahwin, Syarif Abdur Rahman al-Qadri telah dilantik oleh Panembahan Batu menjadi Pangeran dengan nama Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam.
Dua tahun kemudian, Syarif Abdur Rahman al-Qadri kembali ke negeri Mempawah. Setahun kemudian, kembali lagi ke negeri Banjar. Selama empat tahun di Banjar, beliau memperoleh dua orang putera, seorang laki-laki diberi nama Syarif Alwi diberi gelar Pangeran Kecil dan yang seorang perempuan bernama Syarifah Salmah diberi gelar Syarifah Puteri.
Tarikh 11 Rabiulakhir 1185 H/24 Jun 1771 M Syarif Abdur Rahman keluar dari negeri Banjar kembali ke negeri Mempawah. Ketika sampai di Mempawah didapatinya Tuan Besar Mempawah, Habib Husein al-Qadri ayahnya, telah kembali ke rahmatullah. Syarif Abdur Rahman al-Qadri berhenti di Mempawah selama tiga bulan bermesyuarat dengan adik- beradiknya, ialah Syarif Ahmad, Syarif Abu Bakar, Syarif Alwi bin Habib Husein al-Qadri dan seorang kerabat mereka, Syarif Ahmad Ba’abud. Keputusan mesyuarat bahawa Syarif Abdur Rahman akan keluar dari negeri Mempawah hendak membuat kedudukan di mana-mana yang patut.
Mengasaskan kerajaan Pontianak
Tarikh 14 Rejab 1185 H/23 Oktober 1771 M, Syarif Abdur Rahman berangkat dari negeri Mempawah de-ngan 14 buah perahu kecil bernama kakab. Kemudian, sampailah ia di Sungai Pontianak yang kebetulan tempat itu dengan masjid yang ada sekarang ini. Syarif Abdur Rahman dan rombongan berhenti di tempat itu pada waktu malam.
Keesokan harinya, Syarif Abdur Rahman pun masuk ke Selat Pontianak dan berhenti di situ selama lima malam. Pada hari Rabu kira-kira pukul 4.00 pagi, Syarif Abdur Rahman memberi perintah menyerang Pulau Pontianak. Masing-masing mereka mengisi meriamnya dan menembak pulau itu. Kata Syarif Abdur Rahman, “Berhenti perang kerana sekalian hantu dan syaitan yang berbuai pada malam hari di pulau itu telah habis lari, janganlah tuan-tuan takut, marilah kita turun menebas pulau itu”.
Semua anak buah perahu pun turun bersama-sama Syarif Abdur Rahman menebas pulau itu. Setelah habis ditebas, lalu didirikan sebuah rumah dan sebuah balai. Kira-kira lapan hari dikerjakan, di dalam antara itu Syarif Abdur Rahman kembalilah ke Mempawah mengambil sebuah kapal dan sebuah tiang sambung. Tarikh 4 Ramadhan 1185 H/11 Disember 1771 M Syarif Abdur Rahman pindah ke pulau itu.
Perang Pontianak Sanggau
Tiada berapa lama negeri itu berdiri, pada bulan Jumadilakhir 1191 H/ 10 Jun 1777 M, Syarif Abdur Rahman berangkat, mudik ke negeri Sanggau dengan 40 buah perahu kecil hendak terus ke negeri Sekadau. Setelah sampai di Sanggau, maka ditahanlah oleh Penembahan Sanggau tiada diberikannya mudik ke hulu, jauh dari negeri Sanggau. Tetapi Syarif Abdur Rahman, berkeras hendak mudik.
Oleh sebab itu, Penembahan Sanggau sangat marah, lalu menembak perahu itu, hingga terjadi peperangan antara kedua-dua pihak. Setelah tujuh hari berperang, Syarif Abdur Rahman mengundurkan diri kembali ke negeri Pontianak, untuk persiapan membuat perahu besar.
Kira-kira lapan belas bulan sesudah itu bersamaan, 2 Muharram 1192 H/31 Januari 1778 M berangkat lagi ke negeri Sanggau dengan sebuah sekuci, dua buah kapal dan 28 buah penjajab. Ketika sampai di Tayan, bertemulah dengan angkatan Sanggau yang menanti kedatangan angkatan Pontianak di situ.
Angkatan Sanggau kalah, terus lari ke Sanggau. Tetapi ada lagi angkatan Sanggau di Kayu Tunu, angkatan Sanggau sudah siap berperang di tempat. Tarikh 26 Muharram 1192 H/24 Februari 1778 M bermulalah perang di Kayu Tunu. Sanggau kalah pada 11 Safar 1192 H/11 Mac 1778 M.
Syarif Abdur Rahman pun mudik ke Sanggau dan berhenti di situ selama 12 hari. Syarif Abdur Rahman bersama Raja Haji, Yang Dipertuan Muda Riau membuat benteng pertahanan di Pulau Simpang Labi, menempatkan enam pucuk meriam di pintunya.
Pulau itu ditukar nama dengan Jambu-Jambu Taberah. Setelah selesai pekerjaan di Pulau Jambu-Jambu Taberah itu, Sultan Syarif Abdur Rahman pulang ke Pontianak bersama-sama dengan Yang Dipertuan Muda Raja Haji.
Penabalan Sultan
Setelah sampai di Pontianak, Raja Haji, Yang Dipertuan Muda Riau memanggil semua orang di dalam negeri Pontianak untuk memeriksa hal Pa-duka Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam akan dijadikan sultan. Semua isi negeri Pontianak, bersetuju. Raja Haji mengirim utusan ke negeri Mempawah, Matan, Landak dan Kubu.
Raja-raja itu pun mengaku di hadapan Yang Dipertuan Muda Raja Haji mengatakan bahawa mereka menerima dengan gembira. Pada ketika dan tarikh yang baik, hari Isnin, 8 Syaban 1192 H/1 September 1778 M, sekalian tuan-tuan sayid, raja-raja dan rakyat negeri Pontianak berkumpul di Pontianak.
Yang Dipertuan Muda Raja Haji dengan suara yang keras, bertitah, “Adapun kami memberitahu kepada sekalian tuan-tuan sayid, raja-raja, dan sekalian isi negeri Pontianak ini, pada hari ini, Paduka Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam kita sahkan berpangkat dengan nama Paduka Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri, iaitu raja di atas takhta kerajaan Negeri Pontianak, demikianlah adanya”
Adalah pada tahun 1194 H/1780 M utusan Kompeni Belanda datang dari Betawi dengan satu sekuci dan dua buah pencalang. Utusan Belanda itu bernama Ardi William Palam Petter dari Rembang serta berbicara meminta kepada Sultan Syarif Abdur Rahman untuk mendiami negeri Pontianak.
Bersamanya ada lagi utusan Sultan Banten hendak menyerahkan pemerintahan negeri Landak kepada Sultan Syarif Abdur Rahman. Maka Kompeni Holanda pun tetaplah duduk bersetia bersama-sama di dalam negeri Pontianak.
Pada tahun 1198 H/1784 M Kompeni Belanda bermusuh dengan Yang Dipertuan Muda Raja Ali Riau. Kom-peni Belanda menyerang Yang Dipertuan Muda Raja Ali Riau di negeri Sukadana. Negeri Sukadana kalah dalam perang itu.
Pada tahun 1200 H/1785 M, Sultan Syarif Abdur Rahman bersengketa de-ngan saudara iparnya Raja Mempawah, Penembahan Adi Wijaya, kerana perkara Sultan Sambas.
Disingkatkan ceritanya, akhirnya Sultan Syarif Abdur Rahman terpaksa memerangi negeri Mempawah. Setelah berperang selama lapan bulan, negeri Mempawah kalah dalam peperangan itu. Setelah selesai perang, Sultan Syarif Abdur Rahman mengangkat puteranya yang bernama Pangeran Syarif Qasim berpangkat Penembahan Memerintah Diatas Takhta Kerajaan Negeri Mempawah.
Selanjutnya, terjadi perselisihan Pontianak dengan Sambas mulai 3 Rabiulakhir 1206 H/30 November 1791 M. Sultan Syarif Abdur Rahman bersama Yang Dipertuan Sayid Ali bin Utsman, Raja Siak memerangi negeri Sambas. Perang yang terjadi selama lapan bulan itu, berakhir dengan seri iaitu tiada yang kalah atau pun menang.
Wafat
Demikianlah kisah Sultan Syarif Abdur Rahman al-Qadri yang dilahirkan pada 15 Rabiulawal 1151 H/3 Julai 1738 M dan wafat pada malam Sabtu, pukul 11.00, tarikh 1 Muharram 1223 H/28 Februari 1808 M.
Pada hari itu juga, Penembahan Syarif Qasim yang berkedudukan di Mempawah, ditabalkan menjadi Sultan Pontianak dengan menggunakan nama Paduka Sultan Syarif Qasim Raja Duduk Diatas Takhta Kerajaan Negeri Pontianak.
Pada tarikh 19 Safar 1223 H/16 April 1808 M, Pangeran Mangku Negara Syarif Husein bin al-Marhum Sultan Syarif Abdur Rahman dilantik menggantikan Syarif Qasim menjadi raja kerajaan negeri Mempawah.
Pada hari Khamis, pukul 9.00, tarikh 11 Muharram 1228 H/14 Januari 1813 M, Pangeran Syarif Husein kembali ke rahmatullah.
Beliau diganti oleh Penembahan Anom, puteranya Penembahan Adi Wijaya, menjadi wakil memegang kuasa di dalam negeri Mempawah. Pada tahun 1241 H/ 1825 M, Penembahan Anom kembali ke rahmatullah. Pada tahun 1243 H/1828 M, Pangeran Adi Pati Geram menjadi wakil menggantikan memegang kuasanya di dalam negeri Mempawah berpangkat nama Penembahan.
Demikianlah riwayat yang saya ringkaskan dan ubah bahasa dari salah satu manuskrip yang berasal dari tulisan Syarif Abu Bakar bin Syarif Umar bin Sultan Utsman bin Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri yang bertarikh 28 Rabiulakhir 1350 H/9 September 1931 M.
Manuskrip tersebut telah disalin oleh Sayid Alwi bin Sayid Ahmad bin Sayid Ismail al-Qadri. Tarikh salinan, 7 Jumadilakhir 1354 H/7 Ogos 1935 M.
Saya, Wan Mohd. Shaghir Abdullah selesai mentransliterasi daripada Melayu/Jawi ke Latin/Rumi pada, 9 Muharram 1421 H/14 April 2000 M dan selanjutnya diubah bahasa dimuat dalam bahagian Agama, Utusan Malaysia, pada terbitan hari ini.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar